Kerajaan Selangor peruntukkan RM5 juta untuk selenggara parit, longkang tidak bertuan
Kerajaan Selangor terus berusaha memastikan sistem perparitan di negeri itu sentiasa dalam keadaan baik dan terurus.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata, bagi tujuan itu Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM5 juta bagi menjalankan kerja pembersihan parit dan longkang tidak bertuan di seluruh negeri tahun ini.
Peruntukan secara sekali beri itu jelasnya melibatkan kerja pembersihan longkang dan parit tidak bertuan sepanjang lebih 300km dilaksanakan dalam dua fasa, dengan setiap fasa membabitkan kos RM2.5 juta.
“Fsa pertama melibatkan pembersihan longkang dan parit tidak bertuan yang dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor sepanjang 162km.
“Manakala fasa kedua meliputi parit dan longkang dikenal pasti oleh Jabatan Kerja Raya Selangor, pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah dan daerah,” katanya pada persidangan DUN Selangor semalam.
BACA LAGI: Selangor peruntukkan RM108 juta, buka permohonan baharu program BINGKAS
Beliau sementara itu turut memberitahu, kerajaan Selangor juga sedang menyiapkan kertas dasar berhubung penyerahan milikan parit dan longkang tidak bertuan kepada agensi berkaitan.
“Syor sudah diluluskan dan kertas dasar perlu disiapkan sebelum akhir tahun ini supaya peruntukan dapat disediakan untuk mereka menguruskan (penyelenggaraan) secara berkala tahun hadapan,” katanya dipetik.