Semasa

Menteri Kesihatan tepis dakwaan syarikat ‘terpilih’ dapat projek bina 3 hospital baharu

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan mengenai pembinaan tiga hospital baharu yang kononnya diberikan kepada syarikat ‘terpilih’.

Dr Dzulkefly melalui sesi penerangan Kamar Khas di Parlimen pada Selasa menjelaskan, pihaknya telah meneliti kandungan surat pelantikan tersebut dan didapati membabitkan projek pembinaan tiga hospital iaitu Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor; Hospital Jelebu, Negeri Sembilan dan Hospital Kuala Lipis, Pahang yang telah lama wujud dan sedang beroperasi.

“Buat masa ini KKM (Kementerian Kesihatan) belum mempunyai perancangan dalam masa terdekat untuk membina hospital baharu untuk menggantikan ketiga-tiga hospital ini.

“Oleh itu, projek yang dinyatakan dalam surat tular tersebut sebenarnya tidak pernah diluluskan peruntukan oleh kerajaan dan dengan itu permohonan daripada syarikat tersebut tidak dipertimbangkan kerana tidak wujud dan tiada sebarang tindakan susulan diambil KKM,” katanya.

Difahamkan, tuduhan berkaitan perkara itu ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Mengulas lanju Dzulkefly berkata, penelitian surat tersebut didapati tidak dinyatakan sebarang arahan atau kelulusan supaya syarikat yang disebut perlu dilantik untuk melaksanakan projek itu dan Pejabat Perdana Menteri juga telah menyerahkan kepada KKM untuk meneliti permohonan terbabit serta memutuskan tindakan yang perlu diambil.

“Tindakan ini membuktikan Pejabat Perdana Menteri tidak campur tangan dalam hal urusan perolehan projek KKM dan kementerian lain, selari Garis Panduan Pengendalian Sokongan Oleh Anggota Pentadbiran Dalam Urusan Kerajaan yang diperkenalkan dan telah berkuat kuasa sejak 21 Mei lepas,” katanya.

Related Articles

Back to top button