Parlimen

Perbahasan LKAN bukti kerajaan serius tangani kecurangan, kelemahan tatakelola

Langkah kerajaan membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 di Dewan Rakyat bagi dibahaskan merupakan bukti kerajaan serius tangani isu kecurangan, kelemahan tatakelola

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan usul tersebut semalam berkata, ia membuka ruang kepada 52 ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang, membahas dan membuat teguran serta cadangan penambahbaikan kepada perkara yang disentuh dan dibangkitkan dari laporan dikeluarkan Jabatan Audit Negara itu.

Perbahasan membolehkan perhatian dan pengamatan mendalam semua pihak dapat diberikan bagi mendokong hasrat kerajaan mewujudkan tadbir urus sektor awam lebih baik selain penelitian di bawah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Dewan ini serius dalam memerangi kecurangan, kebocoran dan kelemahan tatakelola yang boleh membawa kepada ketirisan yang merugikan kerajaan.

“(Perbahasan juga akan) menjadi faktor pencetus pihak berkaitan untuk mengambil tindakan wajar dan seterusnya mempercepatkan penyelesaian isu yang dibangkitkan oleh LKAN,” katanya.

Azalina turut berkata, langkah itu akan memberi kesan positif antarnya isyarat jelas kepada semua pentadbir dana awam termasuk pihak yang dilantik untuk mengurus badan berkanun, pihak berkuasa awam dan syarikat kerajaan.

Ia juga mampu memupuk budaya bertanggungjawab dan ketelusan dalam semua aspek pentadbiran awam seiring dengan usaha mentransformasikan Dewan Rakyat yang berperanan sebagai semak dan imbang kepada kuasa eksekutif.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa semua menteri bertanggungjawab selaras dengan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang sedang berkuat kuasa mesti meneliti setiap teguran yang dibangkitkan Ketua Audit Negara dalam LKAN 2024 ini terutama membabitkan perkara berulang yang masih berlaku ditangani secara tuntas oleh pihak yang bertanggungjawab,” tambahnya.

Terdahulu, usul LKAN itu dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sebelum disokong Timbalannya, M Kulasegaran.

BACA LAGI: PM mahu semua kementerian dan agensi k’jaan utamakan tatakelola, kebertanggungjawaban

Langkah membentangkan laporan itu juga seiring pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang antara lain memperluaskan tugas dan kuasa yang membenarkan Ketua Audit Negara memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat didaftarkan mengikut Akta Syarikat 2016 (Akta 777), yang menerima jaminan kewangan Kerajaan Persekutuan atau negeri.

Pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu itu tidak pernah dipinda sejak 33 tahun lalu atau kali terakhir pindaan dibuat pada 1991.

Manakala perbahasan LKAN di Dewan Rakyat pertama kali dilaksana pada Jun tahun lalu dibawah Kerajaan MADANI.

Related Articles

Back to top button