Nasional

PLKN konsep, format baharu dijangka mula Jun 2025

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diperkenalkan semula dengan konsep dan format baharu seawal Jun tahun hadapan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, Kementeriannya bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang memuktamadkan proses menyediakan modul latihan yang akan dilakukan secara berfasa.

“PLKN akan diperkenalkan di peringkat sekolah yang dipanggil fasa praPLKN sebagai persiapan mereka (pelatih) menjalani latihan khidmat negara selepas berusia 17 tahun, program ini akan melibatkan pelajar-pelajar di tingkatan 4 sahaja semasa kegiatan kokurikulum.

“Pada fasa seterusnya (iaitu) fasa PLKN asas, remaja berusia 17 tahun dan ke atas akan dipilih untuk menjalani latihan asas di 13 buah kem askar wataniah di seluruh negara, 20 buah universiti awam dan beberapa politeknik.

“Fasa latihan asas ini merangkumi pengisian latihan yang terdiri daripada modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan latihan asas ketenteraan sebanyak 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik di Dewan Rakyat pada Rabu.

Katanya, Modul Asas Kenegaraan yang dibangunkan oleh KPT mengandungi Modul Kenegaraan Elemen Jati Diri, Modul Kenegaraan Elemen cinta negara, dan modul kenegaraan elemen perpaduan.

Manakala modul asas ketenteraan pula dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan yang berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan.

Tambahnya, fasa PraPLKN di peringkat sekolah akan dilaksanakan bersama-sama dengan ketetapan pelaksanaan modul generasi Madani oleh KPM dan dijangka bermula pada Jun atau Julai tahun hadapan.

Fasa PLKN asas yang melibatkan peserta 17 tahun dan ke atas di kem-kem askar wataniah selama 45 hari, dijangka akan dimulakan pada April 2026.

Fasa PLKN asas di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pula dijangka akan bermula pada pengambilan pelajar sesi akademik 2026/27.

Related Articles

Back to top button