Parlimen

Lebih 10,000 jemaah tolak tawaran haji tahun 2024 – Menteri Agama

Seramai 31,600 orang menerima tawaran bagi menunaikan haji musim 1445H/2024M di bawah kuota rasmi negara yang diperuntukkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, seramai 10,036 memohon untuk menangguhkan tawaran atas pelbagai faktor utama seperti masalah kesihatan, kewangan, peribadi, urusan keluarga dan pendidikan anak, masalah cuti dan sebagainya atau tidak menjawab.

“Walaupun segala persediaan sudah dilakukan untuk pergi menunaikan haji, masih terdapat bakal jemaah haji menangguhkan tawaran haji atas pelbagai sebab dan terutamanya kerana tidak dapat memenuhi isyarat istito’ah seperti kesihatan dan kewangan.

“Jika jemaah haji menunda atau menangguh panggilan haji pada tahun semasa, peluang jemaah haji tersebut masih ada untuk tahun-tahun akan datang tertakluk kepada kekosongan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai jumlah statistik bilangan jemaah haji mendapat dan menolak tawaran pada tahun 2024.

Adnan turut bertanyakan usaha kerajaan bagi menangani masalah penolakan calon jemaah haji dan sebab utama mereka menolak tawaran itu.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im memaklumkan, Tabung Haji sudah merangka ‘blueprint haji’ bagi menambahbaik dan meningkatkan kualiti perkhidmatannya.

“Dan salah satu perancangan adalah untuk memaklumkan tawaran haji kepada bakal haji dua tahun lebih awal dari tahun giliran.

“Ini akan memberi masa kepada bakal jemaah untuk mencukupkan simpanan bagi kos haji dan juga membuat persediaan daripada segi kesihatan dan apa-apa keperluan yang lain.

“Ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental, maka aspek kesihatan harus dititik beratkan oleh semua bakal haji bermula dari tanah air lagi,” katanya.

Related Articles

Back to top button