Negeri

Negeri Sembilan fokus perkasa sektor pertanian, beri LPS untuk golongan petani – Menteri Besar

Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan tumpuan kepada sektor pertanian di negeri itu bagi meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nya.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagi merangsang aktiviti pertanian di negeri itu, pihaknya akan melaksana pemberian lesen pendudukan sementara (LPS) kepada petani terutama yang terlibat dalam pertanian tanaman kontan.

“Kerajaan negeri meluluskan permohonan LPS kepada mereka berminat mengusahakan pertanian secara tanaman kontan selain menumpukan pembangunan tanah berkeluasan sekitar bawah 2.42 hektar bagi aktiviti pertanian lain dan ternakan yang dapat memberi keuntungan kepada petani negeri ini.

“Pilihan petani ini ada asasnya, mereka memikirkan penanaman yang dapat memberikan keuntungan sebab itu kerajaan negeri bersedia meluluskan LPS ini bagi memastikan industri pertanian dapat dijalankan,” katanya.

Aminuddin berkata begitu kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban pada Rabu.

Sementara itu beliau melihat industri durian dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah Jelebu, Tampin, Lenggeng dan Kuala Pilah juga berpotensi berkembang maju.

“Kita lihat banyak tanah baharu diusahakan (tanaman durian) dan mengeluarkan hasil, musim durian ini, memang banyak lori keluar masuk di kawasan Jelebu, ia satu perkembangan yang bagus,” tambahnya.

BACA LAGI: 152 siswazah cemerlang di Negeri Sembilan terima penghargaan dari kerajaan negeri

Untuk rekod, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) baru-baru ini memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China.

Perkembangan terbahru itu bakal membuka peluang kepada lebih 63 ribu pengusaha durian di seluruh negara untuk mengeksport hasil mereka ke China.

Related Articles

Back to top button