Semasa

NRES seru PKS, sektor swasta jayakan usaha sifar sisa plastik

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta sektor swasta memainkan peranan memastikan negara mencapai Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2030.

Berucap pada acara MIM Crucial Conversations: Shared Responsibility, Shared Future, Uniting Stakeholders To Co-Create A Greener Malaysia di Petaling Jaya pada Rabu beliau berkata, inisiatif itu penting dalam usaha negara mencapai sifar sisa plastik menjelang 2030.

Langkah itu juga tegasnya akan memastikan laut lebih bersih dan ekosistem yang lebih sihat.

“Saya sedar inisiatif ini memerlukan sokongan dan kerjasama daripada sektor swasta termasuk PKS kerana dianggarkan merangkumi kira-kira 97 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia.

“Oleh itu, peralihan hijau ekonomi kita tidak akan berjaya melainkan PKS terbabit dan memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu tambahnya, kelestarian alam sekitar tidak hanya satu pilihan tetapi tanggungjawab terhadap planet dan masa hadapan generasi masa kini.

Dengan mengintegrasikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) prinsip ke dalam amalan perniagaan, PKS boleh menyumbang dengan ketara kepada matlamat pembangunan mampan Malaysia.

BACA LAGI: NRES pertimbang undang-undang khusus tangani pembuangan, pencemaran plastik

“Kerajaan memang boleh melakukan pembaharuan, mewujudkan dasar dan inisiatif yang berpandangan ke hadapan seperti NETR dan NIMP 2030 tetapi ia hanya sebahagian daripada gambaran sahaja.

“Marilah kita ingat bahawa langkah kecil yang diambil oleh PKS boleh membawa kepada impak terbesar dalam penghijauan akar umbi ekonomi kita,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button