Selangor serah biasiswa Program Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada 9 lagi penerima
Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan biasiswa kepada sembilan penerima di bawah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH).
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, PPSH merupakan inisiatif dibawah inisiatif Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang dilaksanakan sejak 2021 bagi membiayai pengajian 33 wanita di peringkat diploma hingga doktor falsafah (PhD).
“Program ini menawarkan biasiswa bagi melanjutkan pembelajaran ke peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana, serta doktor falsafah (PhD) kepada kepada golongan wanita yang berkelayakan di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan kepada 12 penerima bagi kohort pertama dan 13 penerima membabitkan peruntukan jumlah sama bagi kohort kedua.
Manakala sebanyak 122 permohonan PPSH diterima sejak pembukaan pendaftaran bagi kohort ketiga pada Mac lalu.
“Setelah dua tapisan dilakukan, seramai 21 calon disenarai pendek untuk melalui sesi temuduga sebelum sembilan daripadanya telah dipilih untuk ditawarkan biasiswa PPSH, termasuk dua alumni Akademi Kepimpinan Wanita,” jelasnya.
Sementara itu Anfaal menjelaskan, biasiswa ditawarkan mengetengahkan bidang pengajian yang akan menyumbang kepada kemajuan ekonomi penjagaan di Selangor.
“Antaranya seperti Sains Kesihatan (Fisioterapi), Pemulihan Carakerja (Kecacatan Perkembangan) dan Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling.
“Bidang ini diberikan perhatian khusus oleh kerajaan negeri kerana menyedari kemajuan ekonomi haruslah dijalankan seiring dengan peningkatan kualiti kehidupan,” katanya.
BACA LAGI: Kerajaan Selangor peruntukkan RM5 juta untuk selenggara parit, longkang tidak bertuan
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang ditemui pemberita selepas majlis penyerahan biasiswa itu di Shah Alam berkata, ajaan menerusi Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) akan diteruskan pada masa depan memandangkan ia membantu penerima untuk mendapat kemahiran sekali gus membantu peningkatan pendapatan.