ekonomi

Usaha PM Anwar tarik pelaburan beri impak ketara kepada Malaysia-rantau Asia – Forbes

Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor dan teknologi digital, mempercepat kelulusan pelaburan langsung asing (FDI)dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan memberi implikasi ketara kepada Malaysia dan rantau Asia yang lebih luas, kata Forbes Magazine.

“Dengan memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi dan kemajuan teknologi, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan rantaian nilai global dan mendorong ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing,” kata Benjamin Laker dalam komentar yang diterbitkan oleh majalah perniagaan itu di laman webnya.

Tambah Laker, usaha pentadbiran Anwar yang menggalakkan kualiti pelaburan tertumpu terhadap produktiviti buruh menerusi automasi dan peningkatan perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan mewujudkan ekonomi yang lebih berteraskan inovasi — mengurangkan pergantungan kepada buruh berkemahiran rendah dan meningkatkan produktiviti keseluruhan.

“Pembaharuan ini mempunyai implikasi yang ketara kepada Malaysia dan rantau Asia yang lebih luas,” katanya.

Beliau dalam komentar itu turut memuji pendekatan Anwar dari segi pengoptimuman kos, terutama rasionalisasi subsidi dan mengurus kos perkhidmatan awam.

“Enakmen Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal menginstitusikan pengurusan fiskal yang berhemat dengan sasaran kepada defisit fiskal tiga peratus dan nisbah 60 peratus hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

BACA LAGI: Pelaburan RM10.5 bilion Microsoft bukti keyakinan pelabur terhadap kerajaan

“Rangka kerja perundangan ini bertujuan memastikan dasar fiskal Malaysia kekal mampan dalam jangka panjang, menawarkan persekitaran ekonomi stabil yang kondusif kepada pertumbuhan,” kata profesor kepimpinan di Henley Business School, University of Reading itu.

Beliau turut mengulas beberapa dasar yang cuba dibawa kerajaan bagi meringankan beban kewangan ditanggung termasuk dengan mengalihkan liabiliti pencen pada masa depan kepada model lebih mampan yang disifatkannya sebagai satu langkah penting.

Related Articles

Back to top button