Semasa

Baki pelajar cemerlang SPM akan ditawar program matrikulasi secara berperingkat

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang 10A akan menerima tawaran program matrikulasi kerajaan menjelang bulan depan.

Di kamar khas parlimen petang semalam beliau menjelaskan, pihak kementeriannya telah menerima sejumlah 4,877 permohonan daripada lepasan SPM dengan keputusan cemerlang.

Daripada jumlah itu, 3,684 telah ditawarkan tempat semasa pengambilan pertama pelajar matrikulasi tahun ini, dengan 2,496 pelajar bumiputera dan 1,188 pelajar bukan bumiputera.

“Manakala 400 pelajar lain telah ditawarkan untuk mendaftar dalam program matrikulasi pada pengambilan kedua

“Daripada jumlah tersebut, 33 ialah bumiputera manakala 367 adalah bukan bumiputera,” kata Fadhlina.

Sementara itu baki 712 pelajar yang belum mendapat tawaran akan diselesaikan selewat-lewatnya minggu ketiga bulan depan.

“Kenapa minggu ketiga Ogos? Kerana ada tawaran UPU pada 6 Ogos (ini). Jadi kita bagi pilihan kepada mereka sama ada mereka nak pilih UPU atau Matrikulasi.

“Mereka akan mendapat tawaran ini kedua-duanya. UPU mereka dapat kalau mereka mohon tapi matrikulasi yang mereka mohon awal akan tetap dapat juga. Jadi ada pilihan sama ada mereka nak pergi UPU atau pun Matrikulasi,” jelasnya.

BACA LAGI: Selangor serah biasiswa Program Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada 9 lagi penerima

Akhir bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara serta memastikan sistem kuota bumiputera dan prinsip meritokrasi untuk manfaat semua pelajar terpelihara.

Justeru kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang akan diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Related Articles

Back to top button