Semasa

Keputusan Speaker ikut tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan – Sivarasa

Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk mengekalkan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai wakil rakyat adalah berdasarkan tafsiran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Biro Guaman KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata, Speaker dibenarkan undang-undang untuk membuat tafsiran berkaitan hal tersebut secara keseluruhannya, dan perkara itu seharusnya diketahui dengan jelas oleh pimpinan Bersatu.

Sebaliknya kata beliau, keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung pengosongan kerusi DUN Nenggiri di negeri itu tidak boleh terikat dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat kerana terdapat pemisahan kuasa antara negeri dan Persekutuan.

“Speaker Parlimen berhak tidak ikut Speaker DUN Kelantan atau mana-mana DUN. Beliau boleh buat tafsiran dia sendiri.

“Akhirnya keputusan Speaker Dewan Rakyat boleh dicabar di mahkamah dan mahkamah akan buat keputusan muktamad berkaitan dengan kesan undang-undang di Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Anti Lompat Parti.

“Pindaan Perlembagaan Bersatu hanya menunjukkan satu percubaan untuk mengatasi perkara 49 Perlembagaan, tetapi sama ada parti itu akan berjaya akan terpulang kepada tafsiran Mahkamah berkenaan undang-undang.

“Maka Speaker Dewan Rakyat berhak ikut tafsiran beliau sendiri, tetapi yang akan menentukannya ialah mahkamah,” katanya memetic laporan Suara Keadilan.

Dalam pada itu, enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat daripada parti itu menegaskan mereka tidak akan menyertai mana-mana parti politik, sebaliknya akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman menjelaskan, Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mereka menyertai mana-mana parti.

Beliau turut memberitahu, soal kedudukan mereka dalam Dewan Rakyat juga tidak seharusnya berbangkit kerana ia hanya boleh diputuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Enam Ahli Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Related Articles

Back to top button