Semasa

Kerajaan rujuk RUU Mufti ke Majlis Raja-Raja minggu hadapan – PM Anwar

Perincian mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu hadapan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU itu masih di peringkat perbincangan untuk diperincikan oleh mereka yang pakar dalam bidang berkenaan.

“RUU Mufti sedang dibincang dan mendengar pandangan, bermakna tidak ada pertikaian mengenai soal Sunnah Wal Jamaah, (kita) rujuk kepada (mazhab) Syafie, Hanafi, Maliki atau Hambali dan pandangan lain.

“Perincian itu ada dibincangkan dan saya serah kepada pakar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Global Madani 2024 di Kuala Lumpur anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau sebelumnya diminta mengulas laporan sebuah portal bahawa Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah tidak berkenan nama Majlis Raja Raja digunakan dalam usaha menyokong rang undang-undang itu yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Mohd Na’im pada 2 Julai lepas.

Baginda dilaporkan bertitah demikian menerusi Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang kemudiannya membuat hantaran di Facebook.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 merangkumi RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

BACA LAGI: Presiden Kesatuan Ulama Sedunia puji konsep Malaysia MADANI diperkenal PM Anwar

RUU Mufti itu juga menyenaraikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Selain itu, ia mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain iaitu Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, manakala dari segi tasawuf pula, RUU Mufti berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

RUU itu mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk beberapa mufti, pengamal undang-undang, termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) apabila Presidennya, Musa Awang menegaskan sebarang usaha meletakkan mahkamah syariah kepada satu anjakan paradigma perlu disokong semua pihak, terutama Ahli Parlimen.

Related Articles

Back to top button