Semasa

Pentadbiran PM Anwar terbukti jalankan tugas dengan baik – JPMorgan

JP Morgan menyifatkan Kerajaan MADANI telah mentadbir Malaysia sejak satu setengah tahun terbukti menjalankan tugas dan “sedang mengotakan janji.”

Ketua firma perbankan pelaburan JPMorgan bagi Asia Pasifik (kecuali Jepun/China), Rajiv Batra berkata, pentadbiran Anwar sudah meluluskan beberapa dasar dan pembaharuan yang sukar seperti pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Lebih penting lagi, kerajaan ini meneruskan konsolidasi fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan dengan menyasarkan pertumbuhan sebanyak lima peratus.

“Lihat saja di ASEAN pada tahun ini yang menyaksikan aliran keluar (dana) US$7 bilion dalam ekuiti ASEAN.

“Malaysia juga (tidak terkecuali apabila) bermula pada paras rendah dengan aliran keluar hampir US$150 juta hingga US$160 juta pada suku pertama, namun pada suku kedua, pelabur asing kembali dengan (aliran masuk dana) kira-kira US$200 juta,” katanya dipetik wawancara dengan stesen media CNBC .

Terdahulu agensi berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu bertindak menyemak naik penarafan terhadap Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’ selepas hampir enam tahun dan menyifatkan prestasi itu didorong oleh pembaharuan dasar-dasar negara, pelaburan pusat data serta pembangunan infrastruktur.

Rajiv menyifatkan tahap kemajuan Malaysia sebagai memberangsangkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah 4.2 peratus.

“(Keadaan ini) menjadikan kami positif terhadap Malaysia dan apa yang lebih menarik, semua tanda-tanda ini dicatatkan pada tahun lepas.

“Pertumbuhan pendapatan misalnya hampir menjejaki tahap 10-11 peratus yang juga satu peningkatan yang mengejutkan. Kami perlu memberi pujian kepada negara itu dan atas alasan ini, kami menaikkan penarafan itu kepada neutral,” jelasnya.

BACA LAGI: Usaha PM Anwar tarik pelaburan beri impak ketara kepada Malaysia-rantau Asia – Forbes

Rajiv sementara itu turut memuji langkah berani Malaysia dalam penyasaran subsidi, termasuk diesel selain memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan diberi bantuan tunai secara bulanan.

“Rakyat juga menyedari bahawa penjimatan wang daripada subsidi itu akan dimanfaatkan bagi tujuan ekonomi yang lebih produktif sama ada dalam aspek literasi, latihan kemahiran semula atau dasar gaji progresif yang menyaksikan Malaysia cuba mengambil inspirasi daripada pengalaman Singapura,” katanya.

Related Articles

Back to top button