Negeri

Selangor, Perkeso kerjasama bantu bekas pekerja kilang Goodyear – Menteri Besar

Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah proaktif memastikan kebajikan bekas pekerja kilang pengeluar tayar global Goodyear Malaysia Berhad (Goodyear) terjamin susulan penutupan operasi syarikat itu di Shah Alam.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tujuan itu.

Satu sesi perjumpaan dengan wakil Goodyear telah diadakan pada 26 Mac lalu dan beberapa inisiatif dan pendekatan telah dibincangkan dan dipersetujui dalam usaha kedua-dua pihak menjaga kebajikan pekerja yang terjejas ekoran penutupan operasi syarikat tersebut.

“Antara inisiatif yang dipersetujui ialah menyediakan peluang pekerjaan melalui temu duga fizikal melibatkan 22 syarikat tempatan daripada pelbagai industri di kilang Goodyear pada 22 hingga 26 April lalu.

“Kedua-dua pihak juga mengalu-alukan pekerja terbabit untuk menghadiri temu duga kerjaya dalam Program Jelajah Jobcare anjuran kerajaan negeri bersama Perkeso yang dilaksanakan di sembilan daerah di negeri ini,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Terdahulu, seorang Ahli Dewan bertanyakan tindakan intervensi kerajaan negeri dalam membantu pekerja terbabit susulan pengumuman penutupan operasi kilang berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), menubuhkan pasukan khas bagi membantu 550 pekerja yang terjejas ekoran penutupan kilang Goodyear di Shah Alam.

MIDA dalam satu kenyataan berkata pasukan itu akan membantu penempatan semula pekerja serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula kepada pekerja yang terjejas.

Sementara itu tambah Amirudin, pekerja terbabit yang berminat menyertai perkhidmatan penghantaran dan pembungkusan di bawah ekonomi gigs boleh memohon bantuan kerajaan negeri menerusi Program BikeCare-1,000.

Inisiatif itu memperuntukan sumbangan wang pendahuluan RM1,000 untuk tujuan membeli motosikal.

Related Articles

Back to top button