WHO beri amaran mpox kekal sebagai ancaman kesihatan global
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis memberi amaran mpox atau dulunya dikenali sebagai cacar monyet kekal sebagai ancaman kesihatan global.
Organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu yang menerima laporan kes dari 26 negara bulan lalu menyuarakan kebimbangan terhadap wabak mpox yang lebih membunuh, menular di Republik Demokratik Congo (DRC).
Dalam taklimat media, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus Mpox, berkata mpox kekal sebagai ancaman kesihatan global dan Afrika Selatan baru-baru ini melaporkan 20 kes, termasuk tiga kematian, kes pertama di negara itu sejak 2022.
Tiada satu pun daripada kes itu mempunyai sejarah perjalanan antarabangsa, katanya.
Kebimbangan khusus ialah situasi di DRC di mana satu jenis virus baharu merebak sejak September lalu.
Wabak itu tidak menunjukkan tanda perlahan, kata Tedros, sambil menunjukkan 11,000 kes telah dilaporkan tahun ini, termasuk 445 kematian, dengan kanak-kanak paling terjejas.
Rosamund Lewis, ketua teknikal WHO untuk mpox, berkata agensi kesihatan PBB sangat prihatin dengan keadaan itu.
“Terdapat risiko rentas sempadan dan virus terus bergerak,” katanya.
Mpox pertama kali ditemui pada manusia pada 1970 di DRC, dengan penyebaran subjenis Clade I.
Pada Mei 2022, jangkitan mpox melonjak di seluruh dunia, kebanyakannya membabitkan lelaki gay dan biseksual dan ia adalah subjenis Clade II.
Sejak September lalu, strain Clade I yang baharu dan lebih mematikan merebak di DRC, yang menular secara seksual juga di kalangan heteroseksual dengan wabak itu bermula dalam kalangan pekerja seks.
Ujian mendedahkan ia adalah varian bermutasi Clade I, dipanggil Clade Ib.
Wabak mpox global dua tahun lalu menyebabkan WHO mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa pada Julai 2022.
Ia menamatkan amaran pada Mei tahun lalu, tetapi terus menasihati penduduk untuk terus berwaspada.
“Mpox tidak akan hilang. Kita hidup dalam dunia yang saling berkaitan, jadi penyebaran virus ini boleh terus berlaku,” kata Maria Van Kerkhove, ketua kesiapsiagaan pandemik WHO. – AFP