Semasa

Kerajaan akan kenakan tindakan tegas terhadap pengamal perubatan palsu – Timbalan Menteri

Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap pengamal perubatan palsu dipercayai warga asing yang menjalankan operasi tanpa lesen serta tidak bertauliah di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan keselamatan umum.

“Mereka tidak boleh membuka perkhidmatan di sini oleh kerana segala klinik fasiliti swasta perlu melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).

“Jika kita dapati pusat rawatan tersebut beroperasi haram dan kita menerima laporan, sudah pasti penguatkuasaan akan dilaksanakan,” katanya sambil mengingatkan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dan cakna dalam memilih pusat rawatan sama ada ia beroperasi secara sah berlesen atau secara haram.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Kongres ASEAN ke-13 dan Kongres Kesihatan Perak ke-10 di Hotel Kinta Riverfront pada Jumaat, Lukanisman memaklumkan bahawa beliau akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat pasca Kabinet dalam masa terdekat.

“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat pasca Kabinet supaya agensi atau unit yang bertanggungjawab akan digerakkan untuk menyiasat hal tersebut,” ujarnya.

BACA LAGI: Dua hospital di Sabah bakal dinaik taraf, berstatus Hospital Negeri

Selasa lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan kewujudan sebuah klinik kosmetik yang dikendalikan doktor palsu di Mont Kiara.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa menjalani pembedahan payudara oleh seorang doktor dari China yang tidak mempunyai lesen sah.

Related Articles

Back to top button