Nasional

KUSKOP, PERNAS dan MFA perlu bina sinergi padu bagi perkasa usahawan francais Malaysia – Menteri

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) perlu membina sinergi padu bagi memperkasakan usahawan francais Malaysia.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting bagi membantu syarikat-syarikat francais Malaysia meneroka peluang keusahawanan francais di dalam dan luar negara.

“Saya meminta agar MFA dan PERNAS bekerjasama padu dan saling melengkapi usaha membangunkan usahawan-usahawan dan syarikat-syarikat francais negara termasuk penglibatan bersama dalam Pavilion Malaysia pada ekspo yang seterusnya.

“KUSKOP akan menyediakan Dasar Keusahawanan Francais Negara selain menjadi pendaftar francais. Saya yakin dengan sinergi yang lebih baik ini, kita dapat memperkasakan lagi pembangunan sektor francais negara dan mengembangkan produk serta perkhidmatan jenama francais negara ke pasaran antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Diaspora Malaysia di Bangkok, Thailand, pada Jumaat.

Ewon berkata, ekosistem pembangunan francais negara yang sebelum ini di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini dipusatkan di KUSKOP.

“Sehubungan itu, ekosistem berkaitan francais di Malaysia iaitu pendaftaran, pembangunan, pembiayaan, promosi dalam negara dan di luar negara diselaraskan oleh KUSKOP, katanya.

Terdahulu, Ewon bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Bangkok, Thailand yang berakhir pada Sabtu dalam Misi Perdagangan Francais Antarabangsa sempena Expo Thailand Franchise Business Opportunities 2024.

Ia bertujuan mempromosikan syarikat-syarikat francais jenama tempatan ke peringkat antarabangsa khususnya di Thailand yang mempunyai potensi pasaran besar dengan jumlah penduduk seramai 71.6 juta orang.

Sebanyak tujuh syarikat francais Malaysia di bawah Persatuan Francais Malaysia (MFA) iaitu D’ Tandoor, FatNinjas, Global Art, IrisPro, MuzArt, Myeongdong Topokki dan Cleanpro serta empat usahawan PERNAS iaitu Bubbles O2, Beard Brothers, Richiamo Coffee dan Tanamera menyertai misi perdagangan tersebut.

Related Articles

Back to top button