Pembentangan Belanjawan MADANI 2025 pada 18 Oktober depan
Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan membentangan Belanjawan Madani 2025 pada 18 Oktober depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tarikh tersebut dipilih dan sebarang pindaan akan dimaklumkan kemudian.
“Insya-ALLAH sidang Parlimen bermula 14 Oktober dan Belanjawan Madani 2025 pula akan dibentangkan pada 18 Oktober,” katanya menerusi sidang akhbar di Putrajaya pada Jumaat sebagai mengulas mesyuarat Kabinet yang diadakan sebelumnya.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, Perdana Menteri telah mengarahkan semua menteri agar melaksanakan sesi dialog belanjawan di kementerian dengan penglibatan pemegang taruh dalam sektor di kementerian masing-masing.
“Ini penting memandangkan ia akan dibentang pada pertengahan Oktober nanti, dan ia merupakan belanjawan ketiga yang akan dibentangkan oleh Anwar selepas yang pertama pada Februari 2023 dan kedua pada Oktober 2023,” ujarnya.
BACA LAGI: Kerajaan tumpu naikkan siling ekonomi, lantai pendapatan rakyat melalui Belanjawan 2025
Belanjawan 2025 mengetengahkan tema Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi Madani.
Langkah tersebut disokong dengan tumpuan terhadap aspek penanda aras disasarkan dalam kerangka Ekonomi Madani, termasuk membolehkan Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia Tenggara.