Negeri

Selangor tawar program khusus penjagaan pesakit Palsi Serebrum

Selangor terus mengembeleng usaha memastikan kebajikan semua rakyatnya dapat dipenuhi.

Ia terbukti apabila Kerajaan Negeri itu menjadi yang pertama menawarkan program khusus kepada golongan orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal lumpuh otak melalui pelancaran Unit Jagaan Palsi Serebrum (CPCU).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, CPCU diwujudkan melalui Jabatan Anak Istimewa Selangor (AniS) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sebagai inisiatif khusus bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori fizikal – Palsi Serebrum (CP).

“Program CPCU ini akan dijalankan secara berfasa memandangkan golongan OKU dan anak istimewa kategori CP memerlukan rawatan khusus dalam jangka masa panjang sebagaimana diketahui umum.

“Fasa Pertama adalah Program Latihan Pemerkasaan Ibu Bapa atau Penjaga Anak Istimewa – CP bertujuan memberi pendedahan berkenaan kemahiran penjagaan khusus dan cara pengendalian anak-anak CP.

“Jabatan AnlS mensasarkan latihan ini dilaksanakan sebanyak tiga kali dalam tempoh setahun, dengan siri pertama akan dijalankan bermula Ogos depan,” jelasnya.

Menurut ADUN Taman Templer itu, Fasa Kedua pula akan membabitkan Perkhidmatan Pinjaman Peralatan Rawatan CP.

“Peralatannya memakan kos agak tinggi, tetapi terdapat sebahagian peralatan tidak akan digunakan untuk tempoh panjang. Maka, perkhidmatan ini akan membantu mengurangkan perbelanjaan penjaga anak-anak CP,” katanya dalam kenyataan.

BACA LAGI: Selangor, Perkeso kerjasama bantu bekas pekerja kilang Goodyear

Bagi Fasa Ketiga pula, ia akan menjuruskan kepada Perkhidmatan Rawatan CP yang akan dijalankan oleh pakar kesihatan terkait dengan keperluan anak, termasuk pakar fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan ibu bapa atau penjaga di Selangor yang mempunyai anak istimewa Selangor bagi kategori CP dengan beberapa syarat kelayakan yang ditetapkan bagi menyertai program tersebut.

Related Articles

Back to top button