Semasa

362 syarikat tepati syarat projek rintis Dasar Gaji Progresif bakal terima insentif tunai

Sebanyak 362 syarikat menepati syarat untuk menuntut insentif tunai bagi projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP).

Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 867 syarikat yang sudah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Prograsif sejak diperkenal Jun lalu.

Kementerian Kewangan jelasnya sudah memberikan peruntukkan RM50 juta untuk insentif tunai kepada 1,000 syarikat.

Ia dijangka akan memanfaatkan kira-kira 20,000 pekerja bagi melaksanakan bayaran gaji minimum.

“Bagi syarikat yang lulus penilaian, kita akan beri insentif tunai ini bagi menggalakan mereka memberi pekerja gaji minimum DGP sebelum dilaksanakan secara menyeluruh Oktober ini.

“Ada syarikat dah berjaya buat tuntutan dan beri kesan untuk gerakkan gaji progresif ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu pada Sabtu.

Dasar Gaji Progresif yang diperkenal kerajaan menyasarkan peningkatan gaji dan pengagihan pendapatan lebih seimbang.

BACA LAGI: PM Anwar umum RM200 juta sebagai pembiayaan tambahan program TVET

Lima sektor terbabit projek rintis tersebut adalah sektor pembuatan; pembinaan: perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal; maklumat dan komunikasi; serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

“Kerajaan telah menetapkan matlamat bagi menambah baik struktur gaji dan upah pekerja sektor swasta melalui pelaksanaan DGP, malah pengenalan dasar baharu ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu Perintah Gaji Minimum dan Sistem Upah yang dikaitkan dengan produktiviti,” katanya.

Related Articles

Back to top button