Semasa

FELDA Robotic Challenge 2024 (FRC): KPM bakal tingkat kerjasama perkasa literasi teknologi

Kementerian Pendidikan (KPM) berbangga dan mengagumi komitmen FELDA dalam mempromosikan pendidikan digital di sekolah-sekolah di kawasan FELDA yang membekalkan murid dengan kemahiran yang relevan untuk masa depan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, FELDA Robotic Challenge 2024 (FRC) adalah salah satu inisiatif dalam konteks digital yang dapat mengasah kemahiran kreativiti dan teknikal generasi muda FELDA, selaras hasrat kerajaan memperkasakan semua sektor dengan kemahiran digital.

“Hari ini, kita dapat menyaksikan ketangkasan murid-murid ini dalam merancang, membina, dan mengendalikan robot yang efisien dan cerdas dalam pertandingan FELDA Robotic Challenge 2024.

“Persaingan ini bukan hanya menguji kemahiran mereka tetapi juga menunjukkan kerjasama kumpulan yang luar biasa,” katanya melalui teks ucapan.

Teks ucapan beliau telah disampai oleh Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan yang mewakili Fadhlina menyempurnakan Felda Robotic Challenge 2024 dan Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) pada Sabtu.

Dalam teks ucapan sama, Fadhlina menambah bahawa kejayaan pertandingan Robotik itu membuktikan bahawa generasi muda dari Kawasan FELDA memiliki bakat dan potensi yang sangat besar dalam bidang robotik, yang pastinya akan memperkayakan masyarakat.

Beliau turut menyatakan keterujaannya bahawa sebanyak 80 sekolah dari FELDA, termasuk lima sekolah menengah dan 75 sekolah rendah dari seluruh negara termasuk Sabah, telah menyertai FRC 2024 pada kali ini.

BACA LAGI: Pendekatan baharu untuk manfaat warga Felda akan diumum 

“Impak daripada program ini juga sangat positif khususnya dalam memperluaskan lagi akses pendidikan digital sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid-murid kita, sesuai dengan keperluan zaman.

“KPM akan terus bekerjasama dengan FELDA dan pihak-pihak lain untuk memperkukuhkan lagi sistem Pendidikan negara dan usaha untuk meningkatkan literasi teknologi, memperluas akses pendidikan digital, dan menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran akan terus diperhebat,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button