Semasa

NUTP sokong pendirian PM Anwar kecualikan guru lemah dari kenaikan pangkat secara“time-based”

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyokong pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengecualikan guru yang lemah, cuai dan melanggar disiplin daripada mendapat kenaikan pangkat secara “time-based”.

Presidennya Aminuddin Awang berkata langkah itu wajar supaya hanya guru yang benar-benar berkelayakan mendapat kenaikan pangkat sekaligus dapat memastikan kualiti dan produktiviti guru setanding dengan gred yang dipegang mereka.

“Dalam keadaan sekarang pun “time-based” kita berasaskan kecemerlangan, bukan automatik. Kita ada elemen penilaian oleh ketua jabatan, masa naik pangkat kita tengok kriteria kecemerlangan, daripada segi markah, penilaian prestasi.

“Kita tidak mahu mereka yang tiada kualiti tiba-tiba naik pangkat, sama sebagaimana mereka yang berhempas pulas, jadi bagi memastikan aspek kecemerlangan pendidikan kita sokong pengumuman ini,” katanya.

Aminuddin ditemui pemberita menghadiri Majlis Sambutan Jubli Emas NUTP di Bangi pada Sabtu yang turut disertai Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Terdahulu pada majlis itu Anwar menegaskan kerajaan menerima prinsip kenaikan pangkat secara “time-based”, namun menegaskan bagi guru yang cuai dan lemah dari segi disiplin, kemudahan itu akan dikecualikan.

BACA LAGI: Guru bermasalah, cuai perlu dikecualikan kenaikan ‘time-based’ – PM Anwar

Menerusi kenaikan pangkat secara “time-based”, guru siswazah daripada DG41 yang berkhidmat lapan tahun akan dinaikkan kepada gred DG44, kemudiannya lapan tahun selepas itu DG48, enam tahun selepas itu DG52 dan tiga tahun selepas perkhidmatan kepada DG54.

Sementara itu menurut Aminuddin, sistem berkenaan adalah antara inisiatif terbaik pernah diwujudkan kerajaan sejak sekian lama, yang membantu kira-kira 450,000 pendidik seluruh negara mendapat kenaikan pangkat setelah mencapai tempoh tertentu dalam perkhidmatan.

Related Articles

Back to top button