Nasional

PM Anwar umum peruntukan subsidi tambahan RM100 juta kepada FELDA

Kerajaan menyediakan peruntukan subsidi tambahan sebanyak RM100 juta kepada warga FELDA bagi menampung peningkatan kos operasi ladang susulan penyasaran diesel, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengumumkan berita gembira itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan berkenaan dipersetujui selepas Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengadakan rundingan dengannya berhubung isu dihadapi peneroka FELDA susulan keputusan penyasaran subsidi diesel.

“Adakah pelaksanaan penyasaran subsidi (diesel) boleh 100 peratus sempurna? Ahmad Shabery telah bawa dalam (isu dihadapi Felda) selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

“(Beliau tanya) bagaimana tentang peneroka Felda? Mereka guna peralatan (libatkan diesel), maka saya setuju (lulus peruntukan tambahan RM100 juta),” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di Serdang, Selangor pada Ahad.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM31.7 juta untuk 317 tanah rancangan FELDA bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI.

Beliau berkata, melalui peruntukan itu, setiap tanah rancangan akan menerima RM100,000 untuk melaksanakan satu projek ekonomi tambahan di kawasan mereka.

“Cadangkan satu projek ekonomi tambahan dan saya lulus setiap kampung RM100,000. Sekarang, (projek itu) sedang berjalan. Saya mahu semua (projek) diwakili melibatkan jawatankuasa masjid, surau, belia dan wanita,” kata beliau.

Anwar turut meminta supaya satu kaedah baharu diperkenalkan terutamanya daripada generasi muda bagi mengangkat FELDA ke peringkat lebih tinggi.

Related Articles

Back to top button