SSPA yang akan diumumkan bakal jadi yang terbaik pernah dilaksana – PM Anwar
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumum dalam masa terdekat antara yang terbaik pernah dilaksanakan oleh kerajaan pada masa kini, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di Bangi pada Sabtu berkata, SSPA akan diumum dan dimuktamadkan semasa Belanjawan 2025.
“Saya nak pastikan apabila saya umum begitu, segala kelompangan diisi,” katanya.
Sementara itu perdana menteri berkata, meskipun kerajaan dibebani hutang RM1.5 trilion namun pentadbirannya komited dalam memastikan gaji penjawat awam dinaikkan melebihi 13 peratus bermula Disember ini.
“SSPA ini ada dua pihak kritik. Ahli ekonomi kata Anwar tidak praktikal, dia nak popular maka tidak ada wang, dia naik juga dan jumlahnya besar. Yang satu pihak lagi (pembangkang) kata tidak mungkin berlaku.
“Tetapi hakikatnya pada hari ini, JPA kerja bertungkus lumus dan kita akan cari jalan,” katanya.
BACA LAGI: Kerajaan tekad noktahkan kemiskinan termasuk melalui penggubalan Dasar Gaji Progresif
Anwar pada 1 Mei lepas sudah mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang juga kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, seiring pelaksanaan SSPA.
Ketika itu kata beliau, jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus tetapi kerajaan akan memastikan kenaikan kali ini melebihi 13 peratus.