Israel guna kebuluran sebagai senjata seksa rakyat Palestin – Nurul Izzah
Tindakan negara besar dunia yang terus hipokrit dengan mendabik dada memperjuangkan hak asasi manusia, tetapi terus berdiam diri terhadap jenayah dilakukan Israel bagi menghapuskan penduduk Gaza amat dikesali.
Penasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) Nurul Izzah Anwar, berkata Israel bukan sahaja melanggar segala bentuk asas kemanusiaan terhadap orang awam Gaza, namun secara terang-terangan menggunakan kebuluran dan pemindahan paksa sebagai senjata untuk menyeksa mereka.
Justeru gencatan senjata adalah jalan terbaik untuk menghentikan kekejaman itu sekaligus menamatkan pembunuhan penduduk Gaza yang tidak bersalah.
“Presiden Israel Benjamin Netanyahu mengelak daripada menandatangani gencatan senjata demi kepentingan peribadi.
“Netanyahu yang berhadapan tuduhan rasuah di Israel, menggunakan segala helah untuk mengelak mencapai persetujuan gencatan senjata.
“Serangan demi serangan terus dilancarkan terhadap rakyat Palestin bagi mencapai matlamat Netanyahu yang masih jauh dari sasaran iaitu menghapuskan Hamas, memusnahkan terowong dan keupayaan Al Qassam, membebaskan rakyat dan tentera Israel yang ditawan Hamas serta menukar pemerintahan di Gaza,” katanya dalam kenyataan.
Nurul Izzah turut menegaskan naratif operasi ketenteraan Israel sudah tidak dapat dipertahankan lagi selepas terlalu ramai rakyat Palestin terbunuh yang majoritinya membabitkan wanita dan kanak-kanak.
BACA LAGI: Malaysia kutuk keras serangan Israel terhadap rakyat Palestin di kem pelarian Al-Mawasi
“Israel perlu berpijak di bumi nyata dan menyedari matlamat perangnya hampir mustahil untuk dilaksanakan.
“Paling tidak dengan gencatan senjata dapat membebaskan rakyat dan tenteranya yang ditawan. Jika tidak, bukan hanya Netanyahu dan Israel yang perlu membayar harganya, Amerika Syarikat (AS) juga akan terheret sama,” katanya.
Beliau dalam kenyataan tersebut turut menegaskan pendirian MAHAR yang terus akan menggesa gencatan senjata dilakukan untuk rakyat Palestin dan kemasukan bantuan kemanusiaan perlu segera disalurkan ke Gaza.