Parlimen

Kerajaan akan nilai semula bantuan Budi Madani RM200 ikut keperluan semasa

Kerajaan akan menilai semula jumlah bantuan tunai subsidi diesel RM200 melalui Budi Madani sekiranya harga runcit bahan bakar tersebut mencatatkan peningkatan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, ketetapan berkenaan kadar subsidi ketika ini bagaimanapun mencukupi bagi menampung kos diesel bulanan tambahan.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa, termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa jika perlu.

Lim memberitahu perkara tersebut ketika menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir mengenai ketetapan jumlah bantuan tunai Budi Madani, jika harga diesel meningkat di masa akan datang pada sesi lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pangkalan data Budi Madani untuk rasionalisasi subsidi diesel telah dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman kerajaan dan tidak mengeluarkan sebarang kos tambahan kepada negara.

Katanya, dengan itu isu tender terbuka dalam membangunkan pangkalan data itu tidak timbul.

Related Articles

Back to top button