Bertemu syarikat minyak, KPDN bincang mekanisme cepatkan pengeluaran ‘fleet card’
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengadakan pertemuan dengan lima syarikat minyak bagi mencari mekanisme terbaik dalam memastikan ‘fleet card’ dapat dikeluarkan segera kepada penerima.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, lima syarikat stesen minyak itu akan membentang dan mengemukakan mekanisme bagi menyegerakan pengeluaran kad terbabit kepada 33 jenis pengangkutan darat awam dan barang dibawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Tambahnya, KPDN menyedari berlaku kelewatan kelulusan permohonan ‘fleet card’ terutama kategori pascabayar kerana status kewangan pemohon perlu diperiksa terlebih dahulu.
“Kalau prabayar, tiada isu besar untuk keluarkan segera ‘fleet card’ namun isu timbul sekiranya syarikat memohon secara pascabayar kerana pastinya syarikat stesen minyak perlu dokumen lampiran, status kewangan dan sebagainya. Jadi itu akan mengambil masa untuk pengeluaran.
“Di peringkat kelulusan SKDS oleh KPDN, ia mudah memandangkan kita sudah integrasikan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Isunya selepas mendapat kelulusan berkenaan, permohonan untuk ‘fleet card’ juga perlu dibuat,” katanya.
Armizan berkata begitu kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di Ipoh pada Ahad.
BACA LAGI: PM Anwar umum peruntukan subsidi tambahan RM100 juta kepada FELDA
Beliau sementara itu berkata, setakat kini sebanyak 248,887 kenderaan mewakili 88,029 syarikat pengangkutan darat barangan di negara ini sudah diluluskan subsidi diesel di bawah pelaksanaan SKDS.
Manakala menurut rekod terkini lima syarikat minyak pada 8 Julai lepas, sebanyak 165,897 ‘fleet card’ sudah dikeluarkan.
“Sudah ada penambahbaikan dari segi tempoh pengeluaran ‘fleet card’ sebelum ini apabila tempoh lebih sebulan yang diperlukan sudah dipendekkan kepada dalam tempoh 10 hari.
“Namun, kita masih mahukan supaya mekanisme pengeluaran ini dipercepatkan,” tegasnya.