Selangor Red Giants cipta sejarah, jadi juara Mobile Legend Bang Bang 2024
Selangor Red Giants (SRG) menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-2 di kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 malam tadi.
Kejayaan diraih pada aksi Grand Final yang berlangsung di Amazon Arena Riyadh, Arab Saudi itu sekaligus menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia dalam acara itu.
SRG bermula dengan langkah kiri apabila tewas perlawanan pertama dengan keputusan 23 ‘kills’ berbalas 16.
Bagaimanapun skuad Malaysia itu kembali bangkit pada perlawanan kedua dengan mempamerkan aksi yang kemas untuk menyamakan kedudukan 1-1 meskipun lawannya AP Bren berjaya mendahului dengan jumlah ‘kills’ 14-11.
Pada perlawanan ketiga, menyaksikan SRG tewas 6-22 dalam aksi untuk membolehkan AP Bren selesa memimpin perlawanan.
SRG kemudiannya kembali mendapat rentak apabila memenangi perlawanan keempat dan kelima masing-masing dengan keputusan 18-4 dan 12-11.
Ketika hanya satu mata sahaja diperlukan SRG untuk mengesahkan kejuaraan MSC, juara bertahan dari Filipina itu berjaya menyamakan kedudukan apabila memenangi perlawanan keenam dengan dengan keputusan 14-2 sekali gus mengheret SRG ke perlawanan penentuan.
Pada perlawanan penentuan SRG seolah-olah tidak memberi peluang kepada AP Bren apabila mendominasi perlawanan dan momentum itu diteruskan untuk mengetepikan pasukan lawan 21-10 sekali gus mengesahkan kejuaraan MSC buat kali pertama.
BACA LAGI: KBS galak lebih banyak acara e-sukan bertaraf dunia, mahu Malaysia jadi hab Asia Tenggara
Kemenangan itu menyaksikan SRG membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah AS$1,000,000 (RM4,669,303.78).
Pemain jungler SRG Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul atau lebih dikenali Sekyss dinobatkan sebagai pemain paling bernilai MSC MLBB 2024.