Sukan

Sepanyol muncul juara pada aksi final Euro 2024

Penyerang gantian, Mikel Oyarzabal menjaringkan gol kemenangan Sepanyol pada minit ke-86 bagi membantu pasukan itu menewaskan England 2-1 pada aksi final Euro 2024, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membuktikan kebangkitan semula skuad La Roja di pentas antarabangsa dan meleburkan impian England untuk memenangi gelaran pertama dalam tempoh hampir enam dekad.

Sepanyol kehilangan pemain tengah berpengaruh, Rodri pada separuh masa pertama susulan masalah kecederaan tetapi ia tidak menghalang pasukan itu untuk mendahului menerusi jaringan Nico Williams yang menerima umpanan daripada pemain sayap, Lamine Yamal dua minit selepas rehat.

England bagaimanapun kembali bangkit seperti yang sering dilakukan dalam kempen Euro kali ini apabila pemain gantian, Cole Palmer menyamakan kedudukan pada minit ke-73.

Namun, kebangkitan mereka dalam perlawanan itu dinafikan Oyarzabal yang juga penyerang Real Sociedad apabila dia menyempurnakan hantaran lintang daripada Marc Cucurella empat minit sebelum tamat.

Jaringan itu membolehkan Sepanyol merekodkan kejuaraan Eropah buat kali keempat dan ketiga dalam lima edisi terakhir.

Sepanyol sebelum ini muncul juara pada 1964, 2008 dan 2012, dua gelaran terakhir hadir sama ada sebelum dan selepas kemenangan mereka pada Piala Dunia 2010 ketika era kegemilangan Xavi Hernandez, Xabi Alonso dan Andres Iniesta.

Sama ada generasi kali ini yang diketuai Yamal yang beraksi cemerlang dan bermain sehari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-17 mampu mengulangi pencapaian hebat pasukan itu masih belum dapat dipastikan tetapi mereka sememangnya berhak dengan kemenangan kali ini. – AFP

Related Articles

Back to top button