Global

JD Vance dipilih oleh Trump sebagai calon Naib Presiden

Donald Trump memilih JD Vance, seorang senator Amerika Syarikat (AS) dari Ohio dan pengarang memoir terlaris “Hillbilly Elegy,” sebagai regunya dalam Pilihan Raya Presiden yang berlangsung November ini.

Trump daripada Parti Republikan mengangkat seorang ahli politik yang pernah mengkritiknya dengan kata-kata kesat, namun sejak itu menjadi antara pembela tegarnya.

Spekulasi pemilihan Vance sebagai calon Naib Presiden AS berlegar dalam beberapa minggu kebelakangan ini, muncul pada awal Konvensyen Kebangsaan Republikan yang berlangsung selama empat hari di Milwaukee.

Vance kemudiannya muncul di majlis dengan tepukan gemuruh perwakilan parti tetapi tidak memberikan sebarang kenyataan.

“Selepas berbincang dan berfikir panjang, dan mempertimbangkan bakat luar biasa ramai yang lain, saya telah memutuskan orang yang paling sesuai untuk menyandang jawatan Naib Presiden Amerika Syarikat ialah Senator J D Vance dari Ohio,” tulis Trump pada laman web media sosial beliau.

Pemilihan James David Vance, 39, boleh membantu meningkatkan jumlah keluar mengundi untuk Trump dalam pilihan raya 5 November depan terutamanya di beberapa negeri.

Seorang konservatif yang teguh, Vance tidak mungkin membawa ramai pengundi baharu untuk Trump, bagaimanapun mungkin mengasingkan golongan sederhana.

Beberapa penyokong Trump telah mencadangkan beliau untuk memilih calon wanita atau orang kulit hitam sebagai gandingan pilihan raya untuk mengembangkan pakatan yang condong ke arah lelaki kulit putih.

Beberapa penasihat Trump berkata, bekas presiden itu yang terselamat daripada cubaan membunuh pada perhimpunan kempen Pennsylvania Sabtu lalu, telah menumpukan pada pemilihan regu yang dipercayai dan rapat dengannya.

Vance mewakili generasi muda dalam pilihan raya yang menampilkan Trump, 78, dan Biden, 81, membawa pengimbang kepada tiket Demokrat yang turut merangkumi Naib Presiden Kamala Harris, 59.

Laluan pantas Vance adalah luar biasa untuk politik Amerika.

Selepas melewati zaman kanak-kanak yang miskin di selatan Ohio, beliau berkhidmat di Kor Marin, mendapat biasiswa ke Sekolah Undang-undang Yale dan bekerja di San Francisco.

Nama Vance mula terkenal selepas 2016 apabila beliau menulis “Hillbilly Elegy,” di mana beliau meneroka masalah sosioekonomi yang dihadapi kampung halamannya.

Walaupun Parti Republikan daripada segi sejarah menyokong pasaran bebas dan menerima campur tangan asing sebagai alat keselamatan negara yang penting, pemilihan Trump 2016 membuka keretakan yang ketara dalam parti.

Vance menjadi antara yang paling lantang menentang bantuan berterusan kepada Ukraine di Senat, pendirian yang bertentangan dengan ramai pemimpin perundangan Republikan. – Reuters

Related Articles

Back to top button