Kerajaan fokus jadikan Malaysia destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau
Pelaksanaan peralihan tenaga dan pelaburan hijau yang lebih berkesan, teratur dan sistematik amat perlu bagi mengangkat imej, reputasi dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau pilihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 5 Tahun 2024 yang bersidang semalam telah menilai dan bersetuju ke atas pelan tindakan dalam usaha meningkatkan kedudukan daya saing negara.
“Sayugia, usaha ini dijangka mengupaya lonjakkan semula kedudukan Malaysia dalam Laporan Indeks Daya Saing World Competitiveness Index yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD).
“Kerajaan MADANI amat optimistik dan percaya bahawa Malaysia mampu memperbaiki kedudukan daya saingnya dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan demi untuk kesejahteraan rakyat,” kata perdana menteri menerusi satu hantaran di laman X.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sementara itu berkata, beberapa hasil kajian terkait pelan strategik disentuh pada mesyuarat tersebut.
BACA LAGI: Rafizi lihat potensi jadikan Terengganu negeri peneraju sektor CCUS
Ia sebagai usaha meningkatkan pelaburan hijau selari dengan tumpuan menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau.
“Ikhtiar itu amat penting untuk merealisasikan sasaran karbon sifar bersih seawal tahun 2050, seperti yang telah ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” tambahnya.