Negeri

Kerajaan MADANI bantu, jaga kebajikan golongan nelayan di Sabah

Sejumlah RM21.1 juta elaun sara hidup telah disalurkan kepada 7,502 nelayan di Sabah tahun ini bagi menjaga kebajikan mereka.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain itu sejumlah RM450,000 pula disalurkan kepada 30 nelayan di negeri itu bagi meningkatkan kapasiti nelayan B40 untuk membantu golongan itu meningkatkan taraf hidup serta kemahiran mereka.

Pada ucapan di program ramah mesra Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama nelayan Sandakan pada Isnin, beliau berkata antara bantuan lain yang turut disalurkan khusus kepada kelompok nelayan Sabah ialah Projek Khas Perumahan Nelayan, Skim Perlindungan Keselamatan Nelayan, serta Tabung Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa memastikan kebajikan nelayan di negara ini terbela,” katanya.

Mohamad sementara itu menjelaskan, pemberian bantuan elaun sara hidup nelayan tetap diteruskan bagi memberi manfaat kepada 38,000 nelayan di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM136.8 juta.

“Kerajaan masih meneruskan skim subsidi diesel serta petrol nelayan dengan kuota bersubsidi diluluskan berjumlah 70 juta liter sebulan, dan kadar harga subsidi ditetapkan adalah RM1.65 seliter bagi kedua-dua jenis minyak itu, dan di Sabah 6,782 nelayan menikmati subsidi berkenaan.

“Kesemua insentif yang disalurkan itu membuktikan komitmen kerajaan membantu meringankan beban nelayan selain berusaha meningkatkan lagi taraf ekonomi nelayan di negara ini,” tambahnya.

BACA LAGI: 200 nelayan di Selangor terima bantuan dari kerajaan negeri

Dalam pada itu beliau turut memberitahu, peruntukkan RM1 juta turut diluluskan khas bagi projek perumahan nelayan di Sabah.

Projek yang akan membabitkan 60 keluarga nelayan itu bagi memastikan kesejahteraan hidup golongan itu dapat ditingkatkan.

Related Articles

Back to top button