Kerajaan peruntuk RM100 juta bagi Projek Rintis melalui inisiatif Belanjawan 2024
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi Projek Rintis melalui inisiatif Belanjawan 2024 iaitu melibatkan pakej pembekalan, penghantaran dan perkhidmatan aplikasi secara terus untuk baja sebatian, baja bio serta baja organik di Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kelantan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan pad Selasa bekata, pelaksanaan program Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) sedia ada tidak melibatkan kawasan terpilih di bawah Program Rintis.
Katanya, pelaksanaan SBPKP dan SIPP masih diteruskan dan pada masa sama akan memastikan kebajikan pesawah terjaga melalui pemberian subsidi serta insentif dari semasa ke semasa.
“Melalui projek rintis ini, pembekalan baja dilaksanakan secara pembajaan tepat dan khusus berdasarkan maklumat ‘soil profiling’ yang disyorkan Jabatan Pertanian mengikut status kesuburan tanah di kawasan yang dikenal pasti.
“Pembekalan baja berdasarkan mengikut keperluan tanah serta penggunaan baja bio dan organik dalam penanaman padi di kawasan terpilih ialah langkah permulaan kerajaan dalam usaha memulih dan meningkatkan kesuburan tanah sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran padi dan beras negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada laporan sebuah media dalam talian yang mendakwa penarikan skim baja padi akan memberi kesan kepada petani selain menggesa KPKM mempertimbangkan dengan lebih mendalam implikasi projek itu terhadap petani.