ekonomi

Kerajaan terus komited kurangkan defisit fiskal negara – MOF

Kerajaan MADANI terus komited untuk mengekalkan trajektori konsolidasi fiskal dengan defisit pada 2023 mencatat pengurangan kepada 5.0 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu sebanyak RM91.4 bilion berbanding 5.6 peratus pada 2022 (RM99.5 bilion), kata Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu melalui jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen berkata, defisit fiskal pada 2024 diunjur untuk terus berkurang kepada 4.3 peratus KDNK iaitu RM85.4 bilion.

“Usaha itu mampu untuk menambah baik kedudukan kewangan awam seterusnya mengurangkan beban hutang dalam jangka sederhana dan panjang,” kata MOF.

Terdahulu, seorang Ahli Parlimen bertanyakan justifikasi kepada kenaikan hutang kerajaan RM64 bilion dalam tempoh empat bulan bermula Januari 2024 sehingga April 2024.

Melalui jawapan sama MOF berkata, bagi tempoh Januari hingga April 2024, hutang kerajaan meningkat sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion pada akhir April 2024, berbanding RM1.17 trilion pada akhir 2023.

“Bagi tempoh Januari hingga April 2024, kerajaan telah membuat pinjaman kasar berjumlah RM70.5 bilion meliputi terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia sebanyak RM30 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (RM34.5 bilion) dan bil Perbendaharaan (RM6 bilion).

“Terimaan pinjaman ini digunakan untuk membayar hutang yang matang sebanyak RM20.6 bilion dan baki RM49.9 bilion untuk menampung defisit dalam tempoh tersebut serta hutang yang akan matang,” jelas MOF.

BACA LAGI: Usaha bersepadu kerajaan, BNM berjaya pacu prestasi ringgit

Ia berkata, secara amnya, peningkatan hutang kerajaan saban tahun adalah berikutan keperluan kerajaan membuat pinjaman bagi membiayai defisit fiskal iaitu untuk menampung perbelanjaan pembangunan (DE).

“Pinjaman ini akan meningkatkan paras hutang selagi mana kedudukan kewangan mengalami defisit.

“DE penting kerana ia merupakan pelaburan awam yang mempunyai kesan pengganda besar dan berimpak tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” kata MOF.

Related Articles

Back to top button