Parlimen

Tawaran pengambilalihan MAHB dimuktamad suku ketiga tahun ini

Tawaran pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu juga berkata, ia perlu dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 90 peratus pemegang saham sedia ada MAHB.

Tambahnya, memandangkan tawaran itu merupakan satu urusan transaksi komersial, maka ia tidak mendatangkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan apa jua keputusan yang dicapai nanti perlulah dibuat berpandukan kepada undang-undang dan peraturan semasa berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Isnin.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta kementerian itu menyatakan perincian berhubung penjualan saham MAHB kepada syarikat asing termasuk implikasi kewangan serta tawaran sukarela prasyarat oleh Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang saham yang terlibat.

Tawaran pengambilalihan MAHB merupakan satu urusan transaksi komersial yang dikemukakan oleh sebuah konsortium yang diterajui oleh dua pemegang saham sedia ada MAHB ketika ini iaitu Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Seandainya tawaran tersebut diterima dan dipersetujui oleh pemegang saham MAHB yang lain, Khazanah akan memiliki 40 peratus saham dalam MAHB dan KWSP memperoleh 30 peratus pemilikan, manakala Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) akan memegang 30 peratus saham lagi.

Related Articles

Back to top button