Semasa

Kerajaan bakal perkasa pendidikan Islam, bendung ideologi liberalisme dan pluralisme

Kerajaan MADANI memberi perhatian serius terhadap penularan aliran pemikiran liberalism dan pluralism yang bercanggah dengan ajaran Islam di media sosial.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, kerajaan telah melaksana beberapa tindakan antaranya pewartaan fatwa dan penguatkuasaan perundangan bagi membendung perkara itu.

“Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) antara lain telah menetapkan pandangan hukum bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-74 juga telah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah menyeleweng daripada syariat Islam,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata begitu sebagai menjawab soalan dikemuka seorang Ahli Parlimen yang bertanyakkan tindakan kerajaan dalam menangani ideologi liberalism dan pluralism yang cuba disebarkan kepada masyarakat melalui platform atas talian.

Zulkifli sementara itu menambah, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri termasuk Jabatan Mufti-Mufti Negeri-Negeri sentiasa melaksanakan program penjelasan kepada kumpulan sasar dalam pelbagai forum bagi membendung ideologi liberalisme dan pluralisme ini daripada terus berleluasa.

BACA LAGI: Kerajaan Perpaduan tidak pernah abai kedudukan Islam sebagai agama rasmi – Asyraf Wajdi

Pemantauan secara berkala dan tindakan penguatkuasaan juga terus dilaksana di bawah Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah oleh pihak berkuasa agama negeri dan agensi di peringkat persekutuan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui beberapa akta juga dijalankan.

“Kerajaan akan terus melaksanakan langkah jangka panjang dengan mengukuhkan kurikulum pendidikan Islam secara formal dan informal dalam institusi pendidikan di Malaysia dan memperkemas undang-undang berkaitan bagi mencegah penyebaran ideologi pluralism dan liberalism terhadap masyarakat Islam,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button