Semasa

Kerajaan teliti garis panduan kutip derma awam, elak berlaku penyelewengan

Kerajaan akan meneliti garis panduan bersesuaian dalam urusan kutipan dana serta derma awam bagi memastikan tidak berlakunya penyelewengan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai mengulas isu kutipan derma oleh pempengaruh media sosial yang tular baru-baru ini berkata, amanah yang dipertanggungjawabkan perlu dipastikan sampai kepada kumpulan sasaran.

“Amanah telah diberikan, maknanya apabila ada sumbangan awam diserahkan kepada pempengaruh ini, ada tujuannya supaya ia perlu diberikan kepada kumpulan sasar.

“Bila mana ada teras keyakinan orang awam kepada pempengaruh ini maka mereka kena laksana amanah, jika tidak berlakulah pengkhianatan,” katanya.

Mohd Na’im berkata begitu kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Zakat Korporat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di ibu negara pada Selasa.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

BACA LAGI: Perlu bertanggungjawab, telus urus dana derma – PM Anwar

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Mohd Na’im mengingatkan semua warga kerja MAIWP yang terlibat dalam unit agihan zakat untuk sentiasa mengutamakan nilai integriti di tahap tinggi.

“Ketirisan penyalahgunaan wang zakat akan memakan diri, justeru warga kerja terbabit perlu melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

“Pesanan yang sama seperti saya sampaikan kepada warga kerja MAIWP ini, nasihat sama juga kepada kepada pempengaruh,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button