NRES guna teknologi dron mudahkan kerja pemantauan alam sekitar – Nik Nazmi
Beberapa agensi dibawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sudah mengaplikasi penggunaan dron bagi memantau pencemaran alam sekitar dan hidupan liar di kawasan perlindungan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad juga berkata, teknologi tersebut turut digunakan bagi membolehkan pemantauan pencerobohan hutan dilaksanakan dengan lebih berkesan
Beliau berkata teknologi itu kini diaplikasikan oleh beberapa agensi di bawah kementeriannya seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan Semanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta (JUPEM).
“Maka dengan adanya dron walaupun ia tidak seratus peratus tetapi ia sangat membantu kerja, ia beri kelebihan dan bantu kita laksana tugas dengan cekap.
“Suatu ketika dahulu, JAS (Jabatan Alam Sekitar) dengan kerjasama JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia) telah menggunakan dron untuk mengesan kawasan pembuangan sisa-sisa bauksit di Kuantan, Pahang.
“Maklumat dijana banyak membantu pihak berwajib untuk membuat keputusan dalam menangani isu berkaitan bauksit,” katanya.
Nik Nazmi berkata begitu ketika merasmikan Simposium Dron Kebangsaan 2024 di Putrajaya pada Selasa.
BACA LAGI: Kerajaan MADANI komited kurangkan kesan alam sekitar demi generasi masa depan
Sementara itu jelasnya, perkembangan teknologi khususnya membabitkan dron telah mengubah landskap industri dan perkhidmatan awam di peringkat global termasuk Malaysia.
“Pada waktu ini, teknologi dron digunakan untuk menjalankan pelbagai fungsi strategik dan bukan strategik. Keupayaan dron bagi melaksanakan tugas-tugas yang berisiko dan mencabar dalam tempoh masa yang singkat telah membuka peluang baharu untuk meningkatkan keberkesanan dalam pelbagai bidang,” katanya.