Sukan

Olimpik Paris 2024: Pemenang pingat emas pertama negara bakal terima pangsapuri RM1 juta

Atlet negara yang berjaya meraih emas pertama negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 bakal menerima pangsapuri servis mewah bernilai RM1 juta di Setia Alam.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata tawaran itu dikemuka syarikat pemaju hartanah, Top Residency kepada Jawatankuasa Road To Gold (RTG).

“Emas Olimpik adalah kebanggaan Malaysia. Jadi inilah platform untuk sektor swasta memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila membawa pulang emas,” katanya pada sidang media mengumumkan insentif penajaan Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Beliau juga mengumumkan penajaan peribadi berjumlah RM1 juta daripada Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Bhd (Senheng) Lim Kim Heng kepada tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie yang pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS dari 2012 hingga 2016.

Sekiranya ada lebih daripada satu pemenang, wang tunai berkenaan akan dikongsikan sama rata antara mereka.

Hannah Yeoh sementara itu berkata, pihaknya amat menghargai usaha sama antara kerajaan dengan pihak swasta yang turut memainkan peranan penting bagi memastikan kecemerlangan kontinjen negara di Paris.

“Tajaan ini sebagai menyuntik semangat atlet agar dapat memberikan aksi yang terbaik di bumi Paris nanti.

“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta dan korporat untuk tampil ke hadapan dalam usaha sama memajukan lagi industri sukan negara,” katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur pada Selasa.

BACA LAGI: Skuad basikal trek dapat jentera WX-R Vorteq generasi baharu

Sebelum ini, Cherry Malaysia menawarkan habuan lumayan berupa sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang berjaya memenangi pingat di Olimpik Paris.

Manakala bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Pemenang pingat juga akan menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik secara bulanan sepanjang hayat kepada pemenang emas bernilai RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Related Articles

Back to top button