Semasa

Timbalan Speaker Dewan Rakyat buat laporan polis susulan fitnah di Tik Tok

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor membuat laporan polis susulan fitnah dilemparkan terhadapnya di Tik Tok.

Melalui satu sidang media di Parlimen pada Selasa, Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Hinghlands mendakwa beliau difitnah sekurang-kurangnya dua kali oleh seorang individu sama.

Lelaki terbabit melontarkan kenyataan yang menyinggung perasaan termasuk menuduh bahawa Ramli yang merupakan Ahli Parlimen tunggal masyarakat Orang Asli “makan dedak” dan “makan tahi” – secara tidak langsung membayangkan bahawa pandangannya mengenai isu-isu yang melibatkan Orang Asli dipengaruhi oleh kedudukan dalam kerajaan.

“…dia (Ramli) takut kehilangan gaji, dia tidak membela Orang Asli, dia mahu memusnahkan Orang Asli” kata Ramli memetik kata-kata lelaki terbabit.

Ramli sementara itu percaya tohmahan itu berikutan Kongres Ekonomi Bumiputera pada Mac apabila beliau mengulangi cadangan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda sebagai sumber kuasa Akta Orang Asli 1954.

“Apa yang saya difahamkan, ada segelintir individu, segelintir kumpulan yang tidak bersetuju […] kalau boleh mereka tidak mahu perlembagaan persekutuan dipinda,” tambahnya.

BACA LAGI: Jangan jadikan media sosial sebagai platform berbalah – Agong

Mengulas mengenai laporan dibuatnya, Ramli berkata ia difailkan di Sentul mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

Kedua-dua peruntukan itu menjenayahkan penghinaan yang disengajakan yang mencetuskan pecah keamanan, serta kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam dengan niat untuk menghasut.

Ramli berkata dia juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana menggunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Bergantung kepada hasil siasatan polis, Ramli berkata, dia juga akan mempertimbangkan kemungkinan untuk memfailkan saman fitnah terhadap pemilik akaun TikTok terbabit.

Related Articles

Back to top button