PM Anwar seru tangani gejala Ismaofobia secara tuntas
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gejala Islamofobia perlu ditangani secara tuntas dan berkesan.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, perdana menteri berkata, usaha tersebut perlu melibatkan usaha pelbagai bagi meluruskan persepsi yang berakar daripada xenofobia dan kejahilan, di samping membetulkan kaedah pengajaran Islam.
Tambahnya, pandangan itu disepakati pada pertemuan dan wacana beliau bersama sarjana dan pemikir tempatan serta luar negara dari Azerbaijan, Bosnia, England dan Turki di Seri Perdana, Putrajaya pada Selasa.
Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
“Perbincangan adalah bagi mengupas pelbagai perkara terkait permasalahan umat yang kian meruncing.
Usaha memupuk empati dan persefahaman antara agama dan budaya berbeza harus terus dimantapkan dan akan didukung kerajaan, katanya.
BACA LAGI: Kerajaan bakal perkasa pendidikan Islam, bendung ideologi liberalisme dan pluralisme
Beliau sementara itu turut merakamkan penghargaan kepada pemikir Pusat Dasar Pascanormal dan Kajian Masa Hadapan (CPPFS), International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan ISTAC-IIUM atas kerja keras yang dilakukan dalam memastikan usaha bersama tidak sekadar berlegar dalam forum atau persidangan, tetapi turut mengambil langkah konkrit berdepan dengan sistem menerusi pendidikan.