Selangor berhasrat kembang potensi e-sukan ke peringkat akar umbi – Najwan
Kerajaan Negeri Selangor berhasrat membangunkan e-sukan di peringkat akar umbi daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.
Usaha itu bakal dilaksana melalui melalui penganjuran siri kejohanan yang memberi ruang kepada belia menonjolkan bakat serta menilai potensi seterusnya diserap mewakili pasukan Selangor beraksi di peringkat antarabangsa, kata Exco Sukan dan Keusahawanan negeri, Najwan Halimi.
“Di Selangor, pembangunan e-sukan telah bermula sejak 2015. Hasil cetusan dan usaha Menteri Besar ketika menjadi EXCO Sukan.
“Ketika itu menjadikan Selangor negeri pertama meneroka sukan ini sebagai segmen penting pembangunan belia dan mula menganjurkan kejohanan seperti Selangor International Cyber Games.
“Kita dapat lihat potensi pembangunan e-sukan ini. Ia melibatkan proses panjang sekali gus terbukti kejayaan Selangor Red Giants (SRG) bergelar junia dunia di kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024.
“Momentum akan diteruskan hingga peringkat akar umbi sebagai tanda sokongan berterusan Kerajaan Negeri untuk pembangunan ekosistem e-sukan,” jelasnya.
Najwan berkata begitu kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pasukan SRG di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.
SRG melakar sejarah tanah air apabila menjuarai kejohanan MSC hasil kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport di Amazon Arena Riyadh baru-baru ini.
BACA LAGI: Kompleks Sukan Shah Alam sedia digunakan untuk Sukma 2026
Mereka membawa pulang trofi kejuaraan selain wang tunai AS$1 juta (RM4.6 juta) manakala Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman selaku pemain paling bernilai memenangi AS$50,000 (RM235,000).
Dalam pada itu, Najwan memaklumkan Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan dana RM200,000 hingga RM300,000 setiap tahun untuk pengurusan pasukan SRG.
Ia bagi tujuan pengurusan kelab seperti latihan, emolumen, pemakanan, program kecergasan mental dan fizikal termasuk pembangunan akademik dan sahsiah.