Negeri

Selangor bakal ketengahkan 9 resolusi perlindungan kanak-kanak

Kerajaan Negeri Selangor bakal membawa sembilan resolusi perlindungan dan kebajikan kanak-kanak ke simposium kebangsaan pada September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata sembilan resolusi ini adalah dapatan setiap daerah seluruh Selangor.

Antara resolusi yang dimuktamadkan kerajaan negeri termasuklah usaha mengatasi pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak.

“Resolusi ini diserahkan kepada saya setelah dibincang dalam persidangan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK). Pasukan ini antara akar umbi yang terlibat langsung dalam melindungi kanak-kanak.“katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penutup Persidangan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Selangor 2024 di Geno Hotel, Subang Jaya pada Khamis.

Dalam pada itu, Anfaal menyeru supaya masyarakat menjadi yang pertama melaporkan sebarang kejadian sekiranya merasakan berlakunya pengabaian atau penderaan dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, data Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor merekodkan Selangor mencatat kes pengabaian tertinggi berbanding negeri lain. Pengabaian termasuklah ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah dan kecuaian.

BACA LAGI: Proses pinda Akta Kanak-Kanak 2001 kini diperingkat akhir – Nancy Shukri

“Salah satu faktor menyumbang kes ini adalah kepadatan penduduk selain 80 peratus daripadanya dicatat berlaku di rumah. Sebab itu, kita mahu masyarakat terutama jiran-jiran prihatin keadaan sekeliling dan salurkan maklumat.

“Selain itu, kita juga meluluskan peruntukan RM50,000 di bawah Sinergi Prihatin 2024 bagi penganjuran program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak peringkat negeri pada Ogos depan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button