Parlimen

Keputusan Johari gambarkan kematangan Speaker tafsir undang-undang – Pakar

Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengekalkan enam kerusi Parlimen bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas keanggotaan mereka dibatalkan disifatkan sebagai bukan tindakan pelik.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, keputusan Tan Sri Johari Abdul itu sememangnya telah dijangka ramai pemerhati politik.

Tambahnya, keputusan yang dibuat itu juga merupakan satu ujian kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia serta menggambarkan tahap kematangan seorang Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam membaca dan mentafsir undang-undang.

“… yang kita nampak sekarang ialah mereka (pemimpin Bersatu) tidak lihat perkara ini daripada roh kestabilan politik tetapi lebih kepada kepentingan politik,” katanya.

Dr Wan Rohila berkata begitu semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Status 6 MP Bersatu Akur atau Cabar Keputusan Speaker? terbitan Bernama TV.

Minggu lalu, Johari memutuskan enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat kerana pindaan perlembagaan Bersatu baru-baru ini bertentangan dengan peraturan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Sementara itu Dr Wan Rohila berpandangan , sekalipun BERSATU mahu mencabar keputusan itu di mahkamah, ada kemungkinan mahkamah akan berpihak kepada Speaker Dewan Rakyat.

BACA LAGI: Speaker Dewan Rakyat wajibkan semua Ahli Parlimen buat pemeriksaan kesihatan

“Kita kena tengok juga keputusan Speaker ini, mungkin menjadi panduan kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) di 13 negeri sebab setiap Dun ada Speaker serta enakmen masing-masing dan mereka akan berpandu kepada keputusan Speaker.

“Saya melihat keputusan Speaker ini adalah untuk tidak membawa Parlimen ke belakang yang menyebabkan perlunya kekosongan kerusi untuk Pilihan Raya Kecil walhal perlembagaan parti hanyalah sekadar ‘hujung kuku’ di mata Perlembagaan Persekutuan dan tak terpakai pun untuk Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Related Articles

Back to top button