Semasa

MAA sambut baik pindaan Akta Perubatan, sifatkan permulaan baharu bab kesihatan negara

Persatuan Perubatan Malaysia (MAA) menyambut baik keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 pada Rabu.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, pindaan itu merupakan satu langkah penting yang menandakan bermulanya bab baru latihan perubatan dan penjagaan kesihatan Malaysia.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, atas kepimpinan cemerlang beliau sepanjang proses berkenaan.

“Komitmen beliau terhadap dialog terbuka dan kesediaan untuk berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan telah memainkan peranan penting dalam merangka pindaan ini demi kepentingan komuniti perubatan dan masyarakat umum.

“MMA percaya bahawa pindaan itu beri manfaat secara ketara dalam meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Malaysia, memastikan keselamatan pesakit, dan mengekalkan piawaian tinggi kerjaya perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu menurut Dr Azizan, pihaknya tetap teguh menyumbang kepada Malaysia yang lebih sihat dan menegakkan piawaian tertinggi amalan perubatan.

“MMA akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM), institusi kesihatan dan pihak berkepentingan lain untuk melaksanakan perubahan berkenaan dengan berkesan,” jelasnya yang turut memuji ahli-ahli Parlimen atas pandangan jauh mereka dalam menyokong pindaan itu.

BACA LAGI: KKM komited pastikan pindaan RUU Perubatan dikuatkuasa segera

Pindaan yang diluluskan itu bertujuan menambah baik peruntukan untuk melaksanakan proses kelulusan dan kepakaran pengamalan perubatan.

Ia dibahaskan 20 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang sebelum kemudiannya diluluskan secara sebulat suara.

Related Articles

Back to top button