Malaysia, Filipina terus tingkat kerjasama dalam sektor pertanian
Kerajaan Filipina komited untuk mengukuhkan kerjasama pertanian terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan bersama Malaysia.
Hasrat tersebut disampaikan oleh Duta Besar Republik Filipina ke Malaysia, Maria Angela Abrera Ponce yang memberi kunjungan hormat kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPM), Datuk Seri Mohamad Sabu pada Rabu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KPKM, Filipina komited untuk mengukuhkan kerjasama tersebut kerana Malaysia merupakan rakan dagang terbesar bagi sektor pertanian Filipina di rantau ASEAN.
“Data perdagangan bagi tahun 2023 merekodkan nilai eksport dari Malaysia ke Filipina sebanyak RM5.41 bilion berbanding nilai import dari FIlipina ke Malaysia sebanyak RM1.28 bilion.
“Kedua-dua pihak turut berbincang untuk meningkatkan hubungan dua hala dalam aspek perdagangan pertanian serta kerjasama teknikal dalam subsektor tanaman, ternakan dan perikanan,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Mohamad turut menjemput Angela untuk menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang akan diadakan pada 11 hingga 22 September depan.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Azah Hanim Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Nor Sam Alwi dan pegawai-pegawai-pegawai KPKM dan jabatan agensi di bawah KPKM.