PRK Nenggiri: pemenang Anugerah Belia 2022 dinamakan calon wakili Kerajaan Perpaduan
Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dinamakan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.
Perkara berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Pengerusi BN negeri di Dewan UMNO Negeri pada Khamis.
“UMNO telah meneliti senarai tiga calon yang dibuat secara kolektif setelah selesai berbincang dengan pihak perhubungan dan Mohd Azmawi Fikri dipilih oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid) sendiri untuk mewakill BN dan UMNO bagi PRK DUN Nenggiri,” katanya pada sidang media hari ini.
Mohd Azmawi Fikri, 38, merupakan calon muda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah menerima pelbagai anugerah termasuk muncul johan Anugerah Belia Perdana pada 2022.
Beliau turut komited dalam kegiatan belia serta sukarelawan melalui beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.
BACA LAGI: Hari pengundian PRK DUN Nenggiri ditetapkan pada 17 Ogos depan – SPR
Sementara itu Ahmad Jazlan turut berkata kempen PRK DUN Nenggiri akan dibantu oleh parti-parti komponen BN dan parti gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Kita juga sedar ia bukan perkara mudah tetapi kami berjanji akan berusaha habis-habisan untuk mencapai kejayaan melalui kaedah serta pendekatan menyeluruh melibatkan semua jentera parti.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan merayu kepada pengundi-pengundi DUN Nenggiri tidak kira berada di mana jua agar dapat menyatakan sokongan dan memberi undi kepada calon BN Mohd Azmawi Fikri pada PRK ini,” tambahnya.