Selangor tuan rumah SUKMA, Para SUKMA 2026
Selangor dipilih sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Ke-22 yang akan diadakan pada tahun 2026.
Pemilihan Selangor dipersetujui sebulat suara semasa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada Khamis.
Terdahulu Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor Najwan Halimi membentangkan tawaran Selangor untuk menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.
“Sistem penggiliran tuan rumah SUKMA ditetapkan secara berselang seli setiap dua tahun antara MSN dan negeri. Walau bagaimanapun, negeri boleh menawarkan diri pada giliran MSN sekiranya tidak melibatkan kos pengelolaan besar serta memiliki kemudahan mencukupi.
“Berdasarkan kepada syarat berkenaan, Selangor tampil menawarkan diri dan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia sebulat suara mengesahkan pemilihan Selangor selaku tuan rumah SUKMA 2026. Kelantan kemudiannya mengambil giliran selaku tuan rumah SUKMA 2028,” kata Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Kompleks Sukan Shah Alam sedia digunakan untuk Sukma 2026 – MB Selangor
Untuk edisi di Selangor, sejumlah 28 jenis sukan dicadangkan untuk dipertandingkan.
Manakala 10 jenis sukan akan dipertandingkan pada Para SUKMA.
Sementara itu kenyataan tersebut memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memastikan temasya SUKMA relevan sebagai platform pertandingan berkualiti untuk atlet remaja daripada seluruh negara, selain memberi peluang negeri-negeri untuk memiliki fasiliti sukan terbaik.