Global

Gangguan IT global: NACSA pantau rapat situasi semasa

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memantau rapi gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global yang berlaku sejak semalam.

Melalui satu kenyataan, NACSA berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk mengurangkan kesan dan memulihkan semula operasi sektor terjejas secepat mungkin.

“Di Malaysia, kita dapati terdapat gangguan operasi dalam bidang utama sebagai contoh, operasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah terjejas, menyebabkan daftar masuk secara manual dan masa menunggu yang panjang.

“Bank turut menghadapi gangguan sistem yang mengganggu transaksi dan perkhidmatan pelanggan. Kami ingin menjelaskan bahawa ini bukan serangan siber tetapi ini isu keselamatan siber yang penting,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Microsoft dilaporkan berkata ia sedang mengambil ‘tindakan mitigasi’ selepas gangguan perkhidmatan dilaporkan.

Syarikat itu dalam pengumuman di platform X berkata perkhidmatannya menunjukkan pemulihan berterusan sementara mereka terus mengatasi gangguan sepenuhnya.

Sementara itu NACSA ​​menyebut kesan gangguan IT itu terhadap Malaysia adalah besar kerana ia menyebabkan kelewatan dan cabaran operasi merentasi pelbagai sektor yang menjejaskan perniagaan dan orang awam.

Agensi itu mengesyorkan pihak terlibat untuk sentiasa berwaspada dan memantau secara berterusan pengumuman, penyelesaian dan kemas kini daripada vendor selain memantau dan menguruskan sebarang penyelesaian sementara untuk mengurangkan potensi risiko baharu.

BACA LAGI: MAA sambut baik pindaan Akta Perubatan, sifatkan permulaan baharu bab kesihatan negara

“NACSA ​​komited untuk memastikan keselamatan dan daya tahan infrastruktur siber negara. Kami akan terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada organisasi terjejas pada masa yang mencabar ini.

“Kami sedang dalam proses mengumpul statistik lebih terperinci dan akan memberikan kemas kini selanjutnya apabila ia tersedia,” menurut kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button