Malaysia berjaya pecah ‘tembok kerungsingan’ setelah catat pertumbuhan ekonomi – PM Anwar
Malaysia telah berjaya memecah ‘tembok kerungsingan’ apabila mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.8 peratus pada suku kedua 2024.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pertumbuhan menakjubkan itu merupakan angka yang luar biasa, di luar daripada unjuran yang dikemukakan semua pihak.
“Dalam Ekonomi Madani kita janjikan peluang pekerjaan yang lebih baik, latihan lebih baik, pemindahan teknologi lebih baik dan ke arah digital serta ke arah transisi tenaga.
“Dengan penuh tawaduk, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat.
“Penghargaan tidak terhingga juga kepada warga pekerja sama ada di pihak kerajaan mahu pun swasta, terima kasih kepada warga profesional dan terima kasih kepada para pelabur yang terus yakin dengan hala tuju Ekonomi MADANI,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya serta merupakan pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 yang mencatatkan 7.4 peratus.
Ujar DOSM, bagi separuh pertama 2024, KDNK meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kejayaan itu memberi kesempatan untuk bangkit sebagai negara gagah.
“Saya yakin dengan kerjasama dan tumpuan kita kepada pembangunan ekonomi, kita akan berjaya,” katanya.